Document

Projek Sekolah Makmal yang bermula pada tahun 2012 merupakan satu inisiatif Universiti Pendidikan Sultan Idris untuk membina sekolah di dalam kampus. Sekolah ini pada mulanya dirancang sebagai platform kepada para pensyarah UPSI untuk menjalankan penyelidikan pendidikan seperti instrumentasi pelbagai aspek dalam pendidikan, kajian impak, keberkesanan, dan lain-lain bentuk penyelidikan yang mampu menjana ilmu baharu dalam menelusuri arus pemodenan pendidikan di Malaysia, dan dunia.

Projek ini diselenggara oleh satu Pusat Tanggungjawab (PTj) yang dinamakan Akademi Pendidikan/Sekolah Makmal (APSM) yang kini telah dikenali sebagai Pusat Inisiatif Pemodenan Pendidikan. Berikut adalah senarai Pengarah yang menerajui PTj ini dari tahun 2012 sehingga sekarang:

  1. Profesor Dato Dr. Hassan Basri bin Awang Mat Dahan (2012 – 2014)
  2. Profesor Madya Dr. Muhammad Bazlan bin Mustafa (2015 – 2017)
  3. Profesor Madya Dr Husni bin Ibrahim (2017 – 2019)
  4. Dr. Mohd Hafiz bin Md Hanif (2019 – 2021)
  5. Dr. Kama bin Shaffeei (2022 – Sekarang)

Projek ini pada mulanya menggariskan beberapa objektif utama penubuhan, iaitu:

  1. Menyediakan pendidikan yang berkualiti dan boleh menjadi contoh kepada sekolah-sekolah lain;
  2. Menunjukkan suatu model persekitaran pendidikan yang terbaik;
  3. Menjadi pusat penyelidikan dan penjanaan inovasi dan kreativiti dalam amalan pendidikan;
  4. Menyediakan peluang-peluang perkembangan profesional kepada guru dan mereka yang terlibat dalam pendidikan;
  5. Menyediakan pengalaman pembelajaran klinikal kepada bakal guru; dan
  6. Menyediakan kursus-kursus yang berkaitan dengan penerokaan bidang baharu dalam pendidikan.

Kertas cadangan Projek Sekolah Makmal ini telah diangkat dalam satu mesyuarat bersama pihak Kementerian Pendidikan Malaysia pada ketika itu. Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia menerima baik cadangan daripada pihak UPSI. Melalui perbincangan dengan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia, UPSI telah diberi ruang untuk melaksanakan idea Sekolah Makmal dalam bentuk rintis di dua buah sekolah berdekatan iaitu Sekolah Kebangsaan Bandar Behrang 2020 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Behrang 2020. Pihak KPM memperuntukkan modal permulaan khas kepada UPSI untuk projek ini yang bernilai RM 5,000,000.00. Peluang ini disambut baik oleh pihak UPSI. Pelbagai inisiatif telah dirancang dan dijalankan, terutamanya di SK Bandar Behrang 2020, di antara tahun 2014 hingga 2016. Sebanyak 14 kumpulan pembina modul telah dilantik dalam kalangan pensyarah UPSI bagi membangunkan modul-modul mengikut subjek. Dalam pada masa yang sama, UPSI diminta menyediakan deraf kertas Memorandum Kesefahaman (MoU) untuk ditandatangani di antara UPSI dan KPM. Perbincangan telah dilakukan di antara kedua-dua belah pihak, akan tetapi kesepakatan sukar untuk dicapai, terutamanya dari segi dasar yang dilihat bercanggahan dengan dasar di peringkat KPM. Pada tanggal 28hb Julai 2015, berlaku rombakan dan penstrukturan semula Kementerian Pendidikan Malaysia, yang mengakibatkan kerja-kerja ke arah menandatangani memorandum kesefahaman tergendala. Dalam keadaan ini, UPSI memutuskan untuk menubuhkan sekolah sendiri yang berbentuk sekolah swasta, di bawah pengurusan universiti.

Bermula tahun 2017, APSM mula gerak kerja pembinaan kertas cadangan sekolah swasta UPSI. Pelbagai lawatan penanda aras telah dilakukan bagi meneliti sistem yang terbaik untuk diangkat sebagai model sekolah swasta UPSI. Pada masa yang sama, APSM dengan kerjasama Jabatan Pengurusan Pembangunan & Harta Benda (JPPHB) UPSI telah mula merancang untuk pembinaan bangunan sekolah dalam perkarangan UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City. Lawatan tapak dan kerja-kerja reka bentuk pelan konsep sekolah telah bermula. Pembinaan bangunan sekolah ini akan menelan belanja sebanyak RM 5,000,000.00, dan akan menggunakan peruntukan khas dari KPM yang telah diterima UPSI. Walau bagaimanapun, perancangan ini diteruskan dengan permohonan peruntukan RMKe-12 yang akan menelan belanja hampir RM30 juta. Kerja-kerja ke arah pembinaan fizikal bangunan sekolah terhenti sekitar tahun 2018 kerana kertas cadangan sekolah swasta UPSI tidak mendapat kelulusan daripada mesyuarat Lembaga Pengarah UPSI. NiCE di bawah pentadbiran pengarahnya yang ke-empat telah menjalani beberapa perubahan yang dilihat perlu bagi memastikan kelestarian PTj dan projek sekolah swasta. Perubahan ini telah diluluskan di peringkat Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) tanggal 8 Disember 2019 dan menanti perakuan di peringkat Lembaga Pengarah Universiti (LPU).

Perubahan yang dilakukan adalah melaksanakan penjenamaan semula PTj dari ‘Akademi Pendidikan/Sekolah Makmal’, kepada Pusat Inisiatif Pemodenan Pendidikan (PiPP), atau dalam bahasa Inggeris ‘Neoteric Education Initiatives Centre (NiCE)’. Penjenamaan semula ini dilihat perlu bagi memberi nafas baharu kepada PTj dan projek sekolah swasta, dan sebagai langkah awal dalam memastikan imej sekolah swasta UPSI tidak dikaitkan dengan mana-mana usaha untuk menjadikan para pelajar sekolah tersebut seperti tikus makmal oleh pihak luar. Pemerkasaan inisiatif NiCE di bawah dua sektor iaitu Sektor Awam dan Sektor Swasta. Sektor Awam akan berfungsi bagi melihat inisiatif yang berpotensi dijalankan di sekolah-sekolah awam di Malaysia, manakala Sektor Swasta akan menerajui inisiatif pembangunan dan tadbir urus sekolah Swasta UPSI. Kedua-dua sektor ini diwujudkan bagi memastikan peranan UPSI sebagai institusi pendidikan terulung di Malaysia memenuhi landskap industri. NiCE juga berjaya mendapatkan jawatan Timbalan Pengarah dan seorang kakitangan pelaksana iaitu Penolong Pegawai Tadbir N36. Sehingga pertengahan Januari 2020, PTj NiCE hanya mempunyai seorang kakitangan dan seorang Pengarah untuk menjalankan projek Sekolah Swasta ini. Sehingga kini NiCE telah berjaya menghasilkan Kurikulum Pendekatan Neoterik iaitu daripada segi pembangunan Dokumen Standard Kurikulum Pendekatan Neoterik (DSKPN), Pelan Pengajaran, dan Modul Autotutorial dalam meningkatkan kemenjadian murid dan pentaksiran yang lebih holistik.