KURSUS JANGKA PENDEK

KURSUS LATIHAN GURU KAFA

Kursus Latihan Guru KAFA dibahagikan kepada empat komponen utama yang saling melengkapi dalam memperkukuh profesionalisme guru KAFA iaitu Asas Pedagogi, Kemahiran Insaniah, Teknologi dan Digital serta Motivasi dan Sokongan. Komponen pertama, Asas Pedagogi, memberi penekanan kepada pengenalan kurikulum KAFA, pedagogi yang sesuai, penyediaan Rancangan Pengajaran Harian (RPH), pembinaan bahan bantu mengajar (BBM), pengurusan bilik darjah, kaedah gabungan kelas serta penguasaan teknik pembelajaran al-Quran. Komponen kedua, Kemahiran Insaniah, menitikberatkan pembentukan akhlak murabbi dan penerapan nilai murni dalam diri guru agar menjadi teladan kepada murid. Komponen ketiga, Teknologi dan Digital, membekalkan kemahiran asas ICT melalui pengurusan dokumen menggunakan Word, PowerPoint dan Excel, di samping penguasaan penulisan jawi digital yang lebih mudah diakses. Seterusnya, Komponen keempat, Motivasi dan Sokongan, menekankan kepada hala tuju kerjaya guru KAFA melalui modul Ahdaf al-Hayah, serta pengamalan adab dalam pergaulan untuk memperkukuh nilai profesionalisme dan keperibadian. Secara keseluruhannya, kursus ini dirangka secara komprehensif bagi membentuk guru KAFA yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing dalam mendidik generasi masa depan.

KURSUS LATIHAN GURU PERDANA

Kursus Latihan Guru Perdana merangkumi empat komponen utama yang dirangka untuk memperkasa profesionalisme guru secara holistik iaitu Asas Pedagogi, Kemahiran Insaniah, Teknologi dan Digital serta Motivasi dan Sokongan. Komponen pertama, Asas Pedagogi, menekankan inovasi dalam bahan bantu mengajar dan pengenalan kepada penulisan kajian tindakan sebagai amalan reflektif. Komponen Kedua, Kemahiran Insaniah, memperkukuh nilai kemanusiaan, kepimpinan, empati dan kreativiti melalui pelbagai aktiviti interaktif. Komponen Ketiga, Teknologi Digital, membina kecekapan guru dalam menghasilkan bahan pembelajaran digital yang menarik dan relevan. Seterusnya, Komponen Keempat, Motivasi dan Sokongan, memberi penekanan kepada kesejahteraan emosi, kerjasama dan inspirasi melalui pendekatan positif dan kontemporari, menjadikan kursus ini sebagai platform penting dalam membentuk pendidik yang kompeten, berdaya tahan dan berinovatif.